Rabu, 6 Mei 2009

Obesiti ; suatu penghayatan

Gejala obesiti di kalangan masyarakat Malaysia khasnya dan dunia umumnya telah menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dari tahun ke tahun. Dalam satu Persidangan Saintifik Kebangsaan Tinjauan Kesihatan Kebangsaan dan Morbiditi Ketiga di Seremban pada 4 Disember 2008, Dato Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan Malaysia telah berkata :-

”Telah ditunjukkan, prevalen bagi penyakit kencing manis di kalangan penduduk Malaysia yang berumur lebih daripada 30 tahun telah meningkat daripada 8.3% pada tahun 1996 kepada 14.9% pada tahun 2006. Dan penyakit darah tinggi daripada 29.9% kepada 42.6% dalam tempoh dan kumpulan umur yang sama. Masalah kegemukan (obesiti) juga telah meningkat daripada 4.4% kepada 14%”

Berdasarkan kepada dapatan kajian di atas, peratusan masalah kegemukan telah menunjukkan peningkatan 10% dalam tempoh 10 tahun. Kadar peningkatan ini, seharusnya mendapat perhatian yang serius oleh pihak pengurusan kesihatan di peringkat hospital dalam mendidik masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat. Bagi meningkatkan lagi kefahaman masyarakat mengenai diet sihat, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pada 2005 telah meluluskan Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Kedua ( 2006 – 2015) yang memberi penekanan kepada kaedah pemakanan dan gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia.

Gejala obesiti telah menjadi satu wabak atau epidemik di peringkat dunia globalisasi. Dr. Prakash Shetty dalam pembentangan kerja kerjanya yang bertajuk ” What Is Driving The Epidemic of Obesity In Developing Sicieties?” dalam satu Kongres Sains Antarabangsa pada tahun 2005 telah menyatakan bahawa di kalangan negara membangun, fenomena berlebihan berat badan dan obesiti didapati telah meningkat begitu mendadak berbanding mereka yang mengalami masalah kekurangan zat makanan.

Pembentangannya juga menyatakan di kalangan 150 juta populasi penduduk di negara membangun yang mengalami kurang berat badan, pada waktu yang sama sebanyak 100 juta populasi mengalami masalah kegemukan. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh dua faktor utama yang perlu ditangani sebaik mungkin. Pertamanya ialah perubahan corak diet dan komposisi pengambilan makanan hasil peningkatan pengambilan lemak dari produk berasaskan haiwan. Keduanya kurang melakukan aktiviti fizikal akibat dari perubahan gaya hidup seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan proses ubanisasi yang berlaku dalam masyarakat.


Permasalahan obesiti juga boleh memberi kesan ekonomi kepada sesebuah negara. Dalam satu artikel bertajuk ”Causes and consequences of adult obesity : health, social and economic impacts in the United States” yang ditulis oleh Dr. Nancy S. Wellman dan Barbara Friedberg (2002) telah menyatakan:

"The total cost of overweight and obesity in 2000 by some estimates was 117 billion dollar, with 61 billion dollar direct and 56 billion dollar indirect costs. Direct health care costs refer to preventive, diagnostic and treatment services related to overweight and obesity (e.g physician visits, hospital and nursing home care)…..”

Jika kita merujuk pernyataan di atas, sekiranya permasalahan kegemukan ini tidak diatasi dengan baik, kesannya nanti boleh merugikan ekonomi sesebuah negara. Dengan mengurangkan perbelanjaan 117 billion dolar tersebut, kemungkinan besar jumlah ini dapat disalurkan kepada projek – projek lain yang lebih menguntungkan rakyat Amerika.

Dari segi kesannya ke atas kesihatan, banyak jurnal perubatan dan kesihatan seluruh dunia menyatakan bahawa permasalahan obesiti mempunyai perkaitan rapat dengan pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes mellitus), darah tinggi, kanser, arthritis, sleep apnea, hiperlipidemia, penyakit kardiovaskular dan sebagainya. Di Amerika sahaja kematian terhadap gejala obesiti adalah dianggarkan mencecah 300 ribu kematian setahun berbanding kematian akibat dari amalan merokok iaitu 400 ribu orang.

Di negara kita, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menerbitkan Buku Garis Panduan Amalan Klinikal : Pengurusan Masalah Kegemukan (2004) sebagai satu panduan dan bantuan kepada anggota kesihatan untuk mencegah dan menangani permasalahan ini. Salah satu aspek yang dibincangkan ialah manfaat yang diperolehi sekiranya seseorang dapat menguruskan berat badannya dengan baik. Antaranya boleh menurunkan bacaan tekanan sistolik dan distolik sebanyak 10mmHg dan 20mmHg, pengurangan aras kolesterol sebanyak 10% dan pengurangan lebih 50% risiko penyakit kencing manis.
Projek Makan Tengahari
Saya telah membaca suatu artikel yang ditulis oleh wartawan Ziauddin Sharudin (yang telah mengikuti lawatan anjuran Yakult ke Tokyo, Jepun) bertajuk " Sekolah di Jepun laksana program diet sihat). Memandangkan warga Jepun yang kini telah mengalami wabak obesiti yang amat membimbangkan, maka pihak beroutoriti di Jepun telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan projek makan tengahari di Sekolah Rendah Nisikasai, Tokyo bagi menerapkan amalan diet sihat di kalangan pelajar.
Menurut Guru Besar sekolah terbabit, prinsip utama program makan tengahari bernilai RM70 sebulan ini adalah untuk mendidik pelajar supaya memilih makanan yang baik untuk kesihatan. Katanya menu makan tengahari merangkumi nasi, ikan (mentah atau masak), sayur - sayuran, sup dan makanan berasakan soya. Apa yang menarik minat saya ialah semangat yang ditunjukkan oleh Guru Besarnya, Kimiko Yabe yang sangat serius untuk melaksanakan program ini dengan melantik pakar pemakanan bertauliah di sana bagi membuat perancangan dan menguruskan program ini.
Dalam satu kenyataannya, Kobayashi (pakar pemakanan tersebut) berkata pihaksekolah sedaya upaya cuba menggunakan produk tempatan yang segar, manakala makanan dimasak di dapur khas sekolah yang amat mementingkan kebersihan.
Jika kita buat perbandingan mengenai program makanan tambahan di Malaysia, pelajar makan di kantin dan dalam keadaan tertentu akan timbul suasana berebut - rebut untuk menjamu selera. Namun di sekolah rendah ini, suasana menikmati hidangan lebih menarik iaitu dengan menjamu selera di kelas masing - masing. Dalam artikel tersebut, wartawan Ziaudin Sharudin telah mengalami sendiri dengan duduk semeja bersama pelajar.
Dalam jam 12.20 tengahari itu, waktu makan bagi pelajar telah bermula dan diperhatikan pelajar sibuk mengemaskan meja masing - masing dan dalam waktu yang sama troli makanan dari dapur khas sekolahpun tiba. Dalam ketika ini, pelajar di sana telah menunjukkan sifat tanggungjawab yang tinggi dengan menyediakan makanan kepada rakan sekelas. Saya berfikir sejenak,Wah ! kalau begini sifat membantu yang ditunjukkan, maka tidak mustahil bila mereka besar kelak, pelajar ini akan lebih menguntungkan warga Jepun kerana mereka telah dididik untuk mengamalkan amalan bantu - membantu sejak di bangku sekolah lagi.
Pelajar - pelajar ini, menurut artikel tersebut lengkap dengan pakaian khas dan topi dan sekumpulan pelajar juga dilihat mencedok makanan ke mangkuk rakan mereka. Setiap pelajar kemudian kembali ke meja makan masing - masing dan secara srentak menjamu selera. Selepas makan pelajar ini akan meletakkan dulang di tempat yang dikhaskan di samping tidak meminggirkan soal kebersihan
Apa yang kita boleh dapat dalam program ini ialah pihak kerajaan Jepun ingin mendidik dan menggalakkan amalan pemakanan sihat di kalangan rakyat negara itu terutama pada peringkat pelajar sekolah. Penolong Kaunselor Jabatan Penggalakan Pendidikan Pemakanan, Miho Kawano, berkata kesungguhan kerajaan Jepun untuk melihat rakyatnya mengamalkan pemakanan sihat boleh diukur berdasarkan penubuhan Majlis Pendidikan Pemakanan atau Syikuiku. Apa yang mengkagumkan majlis ini diterajui sendiri oleh Perdana Menteri dengan mempunyai struktur organisasi dari peringkat kebangsaan hingga ke peringkat akar umbi seperti kerajaan tempatan dan majlis perbandaran dengan kumpulan sasaran termasuk sekolah dan tadika.
Dalam hal ini, banyak perkara yang perlu difikirkan sebelum program makan tengahari ini dapat direalisasikan di sekolah - sekolah di Malaysia. Antaranya ialah pihak kerajaan harus mengisi keutamaan ini dalam belanjawan pada masa- masa akan datang. Peruntukan untuk projek ini seperti pembinaan dapur sekolah khas yang bertaraf moden perlu menjadi keutamaan ketika merancang pembinaan sekolah - sekolah. Dalam erti kata lain, adakah kita benar - benar bersedia untuk melabur jutaan ringgit untuk melaksanakan projek ini demi kebaikan anak - anak warga Malaysia baik di pendalaman maupun di bandar dan pinggir bandar.
Saya rasa projek makan tengahari ini boleh dilaksanakan jika kita benar - benar ada kekuatan / keazaman. Ini kerana, jika ia berjaya dilaksanakan suatu generasi muda yang sihat boleh dibentuk dari peringkat awal lagi, bak kata pepatah 'Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya'. Anda semua boleh bayangkan jika generasi kita sihat mentalnya, sihat fizikalnya dan sihat emosinya maka akan terbentuklah jatidiri warga Malaysia yang sihat dan produktif. Secara langsung, kita boleh membina suatu bangsa Malaysia yang berdaya saing, tahan cabaran dan kuat menghadapi segala kekalutan yang mendatang. Manfaatnya banyak............. terpulanglah kepada segenap warga Malaysia dai pelbagai segenap lapisan masyarakat untuk merealisasikan ya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan