BEBERAPA kejadian kes keracunan makanan membabitkan pelajar di beberapa sekolah di negara ini, mendapat pelbagai reaksi daripada pelbagai peringkat masyarakat.
Kes terbaru membabitkan keracunan makanan pelajar di dua sekolah berasingan di Terengganu yang menyebabkan mereka terpaksa dirawat kerana pening dan muntah selepas memakan makanan yang dibeli di kantin sekolah. Kes sebegini sepatutnya dianggap serius oleh semua pihak dan perlu ditangani segera kerana ia membabitkan kesihatan, malah nyawa pelajar.
Jika diteliti, faktor kecuaian manusia di samping proses penyediaan yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan adalah punca kejadian.Berdasarkan banyak kes keracunan yang disiar di media, ada sesetengah pengusaha kantin gagal menyediakan makanan bersih dan berkhasiat kerana terlalu mementingkan keuntungan. Malah, ada sesetengah pekerja di kantin bersikap sambil lewa apabila berhadapan dengan aspek kebersihan makanan.Pada masa sama, ada juga peniaga mengambil kesempatan menjual makanan dan minuman ringan yang sepatutnya tidak dijual kepada pelajar.
Kandungan makanan ringan yang tidak berkhasiat dan mempunyai kesan sampingan terhadap kesihatan wajar dielakkan daripada menjadi makanan pelajar dikantin.
Saya ingin mengesyorkan supaya ibu bapa, guru dan pihak berkuasa supaya turut bersama-sama memastikan pelajar mendapat makanan berkhasiat.
Pemantauan terhadap kebersihan dan makanan yang dijual wajar dilaksanakan secara berkala.
Hal ini penting bagi mengelakkan berlaku kecuaian dalam proses penyediaan makanan, perbincangan mengenai menu yang bersesuaian, juga wajar dilaksanakan di kalangan pengusaha dan pihak sekolah.
Pengusaha pula perlu menyediakan satu piawaian bagi penyediaan makanan.Elakkan daripada menjual makanan dan minuman ringan di kantin, sebaliknya tingkatkan jumlah makanan yang berkhasiat yang boleh membantu tumbesaran pelajar seperti buah-buahan dan sayuran.
Sekiranya memerlukan khidmat nasihat, terutama dalam penyediaan makanan berkhasiat, pengusaha boleh mendapatkannya melalui Pegawai Kesihatan atau Pegawai Dietetik/Pakar Pemakanan yang terdapat hospital atau Pejabat Kesihatan di seluruh Malaysia. Sekiranya amalan pemakanan sihat dan berkhasiat ini dapat dilaksanakan di sekolah, ia dapat mengelak berulang lagi masalah keracunan makanan. Malah, ia satu pendidikan kepada pelajar untuk memilih makanan berkualiti untuk kesihatan mereka.